Penglibatan Komuniti dalam Pengurusan Sisa Pepejal di Malaysia

Similar documents
GARISPANDUAN BERKAITAN PENGECUALIAN CUKAI KE ATAS PEMBERIAN ATAU SUBSIDI (GRANT) DAN PENDAPATAN PIHAK BERKUASA BERKANUN

RUZIAH AHMAD BAHAGIAN PENGKATALOGAN PERPUSTAKAAN TUANKU BAINUN, UPSI

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA. CCS513 Computer Vision and Image Analysis [Penglihatan Komputer dan Analisis Imej]

DEVELOPMENT OF PROCESS-BASED ENTROPY MEASUREMENT FRAMEWORK FOR ORGANIZATIONS MAHMOOD OLYAIY

INTEGRATED MALAYSIAN METEOROLOGICAL DATA ATMOSPHERIC DISPERSION SOFTWARE FOR AIR POLLUTANT DISPERSION SIMULATION

BAB 1 PENDAHULUAN. 1.1 Pengenalan

PORTAL MENGURUS BAHAN PEMBUANGAN KITAR SEMULA. Nur Athirah binti Irham Dr Amirah binti Ismail

ARTIFICIAL NEURAL NETWORK AND KALMAN FILTER APPROACHES BASED ON ARIMA FOR DAILY WIND SPEED FORECASTING OSAMAH BASHEER SHUKUR

Analisis Penjanaan dan Komposisi Sisa Pepejal di Kafe Bangunan Pentadbiran: Kajian Kes

P U A N Z A I N A H B I N T I R U J I H A N ( P E N G A R A H, B A H A G I A N H U B U N G A N I N D U S T R I D A N K E B O L E H PA S A R A N ) P O

A COMPUTATIONAL FLUID DYNAMIC FRAMEWORK FOR MODELING AND SIMULATION OF PROTON EXCHANGE MEMBRANE FUEL CELL HAMID KAZEMI ESFEH

Lima Tonggak Dlm Pengajaran & Pembelajaran Matematik. Five pillars in teaching and learning mathematics

HUBUNGAN JARINGAN ANTARA PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA INDUSTRI PELANCONGAN DI KAMPUNG CHERATING LAMA, PAHANG SUHAINI BINTI IBRAHIM

PENGGUNAAN GAMBAR RAJAH DALAM MENYELESAIKAN MASALAH GERAKAN LINEAR SITI NOR HIDAYAH BINTI ISMAIL UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

DYNAMIC SIMULATION OF COLUMNS CONSIDERING GEOMETRIC NONLINEARITY MOSTAFA MIRSHEKARI

KOLEJ MULTIMEDIA JALAN GURNEY KIRI KUALA LUMPUR

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA. CIT562 Bioinformatics Computing [Perkomputeran Bioinformatik]

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA. CCS511 Evolutionary Computing [Perkomputeran Berevolusi]

EFFECT OF ROCK MASS PROPERTIES ON SKIN FRICTION OF ROCK SOCKET. YUSLIZA BINTI ALIAS UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

Satu Pengalaman Di Malaysia

REG 363 Site Investigation (Kajian Tapak)

DENSITY FUNCTIONAL THEORY SIMULATION OF MAGNETISM DUE TO ATOMIC VACANCIES IN GRAPHENE USING SIESTA

Pelantar Benua (Pindaan) 1 D.R. 6/2009 RANG UNDANG-UNDANG. b e r n a m a. Suatu Akta untuk meminda Akta Pelantar Benua 1966.

PREPARATION AND CHARACTERIZATION OF MICROWAVE-MODIFIED ADSORBENTS FROM Casuarina equisetifolia SEEDS FOR DYE ADSORPTION APPLICATION

SUBMARINEPIPELINEROUTING ANDINSPECTION WITH GEOGRAPHICALINFORMATION SYSTEMTECHNOLOGY CHAI BENG CHUNG

OPTIMAL CONTROL BASED ON NONLINEAR CONJUGATE GRADIENT METHOD IN CARDIAC ELECTROPHYSIOLOGY NG KIN WEI UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

SCES2242/ SCES2434/SIC2005 : KIMIA POLIMER/ KIMIA POLIMER I POLYMER CHEMISTRY/ POLYMER CHEMISTRY I

ABSTRACT. using substrates that are rich in organic matter, such as compost. Methanotrophs are

KEPERLUAN MENINGKATKAN KEUPAYAAN MODAL INSAN DALAM GERAKAN KOPERASI MALAYSIA

INSTRUCTION: This section consists of SIX (6) structured questions. Answer FOUR (4) questions only.

AHMED MOKHTAR ALBSHIR BUDIEA

A STUDY ON THE CHARACTERISTICS OF RAINFALL DATA AND ITS PARAMETER ESTIMATES JAYANTI A/P ARUMUGAM UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA. Peperiksaan Semester Pertama Sidang Akademik 2000/01. September/Oktober EAL 534/4 Perancangan Dan Dasar Pengangkutan

IMK 308 Food Preservation Principles [Prinsip Pengawetan Makanan]

Jawab soalan mengikut arahan yang diberikan dalam setiap bahagian. Questions should be answered according to the instructions given in each section.

(Kertas soalan ini mengandungi 6 soalan dalam 7 halaman yang dicetak) (This question paper consists of 6 questions on 7 printed pages)

Jawab soalan mengikut arahan yang diberikan dalam setiap bahagian. Questions should be answered according to the instructions given in each section.

(Kertas soalan ini mengandungi 8 soalan dalam 6 halaman yang dicetak) (This question paper consists of 8 questions on 6 printed pages)

Kertas soalan ini mengandungi dua bahagian, Bahagian A dan Bahagian B. This paper contains two sections, Section A and Section B.

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

JANGAN BUKA KERTAS SOALAN INI SEHINGGA DIBERITAHU

Arahan : Jawab semua soalan. Instructions: Answer all questions.

DGP5162: BASIC ENVIRONMENT ENGINEERING

EME 451/3 Computational Fluid Dynamics Pengkomputeran Dinamik Bendalir

EAA211 Engineering Mathematics for Civil Engineers [Matematik Kejuruteraan untuk Jurutera Awam]

t,' ij HAK r.jiilik QD478.N82015 desdestabilizing agent for solid state hydrogen storage / Nurul Shafikah Mohd Mustafa.

SYSTEM IDENTIFICATION MODEL AND PREDICTIVE FUNCTIONAL CONTROL OF AN ELECTRO-HYDRAULIC ACTUATOR SYSTEM NOOR HANIS IZZUDDIN BIN MAT LAZIM

SCES2242/ SCES2434 : KIMIA POLIMER/ KIMIA POLIMER I POLYMER CHEMISTRY/ POLYMER CHEMISTRY I

INSTRUCTION: This section consists of FOUR (4) structured questions. Answer ALL questions.

ORGANOCHLORINE PESTICIDES (OCPS) IN SEDIMENTS OF NORTHEAST COAST OF BORNEO SABAH AND SULU SULAWESI SEA, MALAYSIA NOORKHALISAH BT KHAMARUDIN

PANITIA BIOLOGI DAERAH SEPANG PEPERIKSAAN PERCUBAAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA BIOLOGI KERTAS 3 Satu jam tiga puluh minit

INSTRUCTION: This section consists of FOUR (4) structured questions. Answer TWO (2) questions. only.

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

SCES3362 : TEKNIK-TEKNIK INSTRUMENTASI DALAM KIMIA INTRUMENTAL TECHNIQUES IN CHEMISTRY

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA. CCS511 Evolutionary Computing [Perkomputeran Berevolusi]

MORPHOLOGICAL, GENETIC AND BIOLOGICAL STUDIES OF RED PALM WEEVIL, Rhynchophorus spp. (COLEOPTERA: CURCULIONIDAE) IN TERENGGANU, MALAYSIA

INSTRUCTION: This section consists of SIX (6) structured questions. Answer FOUR (4) questions only.

ERODABLE DAM BREACHING PATTERNS DUE TO OVERTOPPING NOR AIN BINTI MAT LAZIN UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

EEM 423 KEJURUTERAAN KEBOLEHPERCAYAAN

INSTRUCTION: This section consists of FOUR (4) structured questions. Answer ALL questions.

NO.KADPENGENALAN:I SES12015/2016 PEPERIKSAAN AKHIR. UNIVERSITI PENOIOIKAN SULTAN loris SEMESTER 1 ARAHAN SULIT KOD : VAS3013 KURSUS : SAINS TANAH

INDEX SELECTION ENGINE FOR SPATIAL DATABASE SYSTEM MARUTO MASSERIE SARDADI UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

MODELING AND SIMULATION OF BILAYER GRAPHENE NANORIBBON FIELD EFFECT TRANSISTOR SEYED MAHDI MOUSAVI UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

FALSAFAH PENDIDIKAN MATEMATIK KBSR

PORTAL PENGURUSAN LATIHAN UKM (e-latihan)

EMH 211 Thermodynamics [Termodinamik]

RAINFALL SERIES LIM TOU HIN

MULTISTAGE ARTIFICIAL NEURAL NETWORK IN STRUCTURAL DAMAGE DETECTION GOH LYN DEE

ISOLATION AND CHARACTERIZATION OF NANOCELLULOSE FROM EMPTY FRUIT BUNCH FIBER FOR NANOCOMPOSITE APPLICATION

EVALUATION OF FUSION SCORE FOR FACE VERIFICATION SYSTEM REZA ARFA

Fakulti Kejuruteraan Petroleum dan Kejuruteraan Tenaga Diperbaharui

SHADOW AND SKY COLOR RENDERING TECHNIQUE IN AUGMENTED REALITY ENVIRONMENTS HOSHANG KOLIVAND UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

COVRE OPTIMIZATION FOR IMAGE STEGANOGRAPHY BY USING IMAGE FEATURES ZAID NIDHAL KHUDHAIR

(Kertas soalan ini mengandungi 3 soalan dalam 11 halaman yang bercetak) (This question paper consists of 3 questions on 11 printed pages)

LAPORAN TAHUNAN ANNUAL REPORT 2002

MSG 356 Mathematical Programming [Pengaturcaraan Matematik]

GALERI INTERAKTIF MUDAH ALIH BERASASKAN AUGMENTASI REALITI

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

EAG141 Geology For Civil Engineer [Geologi Untuk Jurutera Awam]

SOLUBILITY MODEL OF PALM OIL EXTRACTION FROM PALM FRUIT USING SUB-CRITICAL R134a NUR SYUHADA BINTI ABD RAHMAN

EPP 322 Advanced Manufacturing Process [Proses Pembuatan Termaju]

Section A [28 marks / markah] Answer all question Jawab semua soalan

EFFECT OF GRAPHENE OXIDE (GO) IN IMPROVING THE PERFORMANCE OF HIGH VOLTAGE INSULATOR NUR FARAH AIN BINTI ISA UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

MULTIMEDIA COLLEGE JALAN GURNEY KIRI KUALA LUMPUR

Form 1 Mid year. 2 Find the value of each of the following. Cari nilai bagi setiap yang berikut. (a)

HUBUNGAN SIKAP ALAM SEKITAR DAN AMALAN KITAR SEMULA DI NEGERI TERENGGANU

Kertas soalan ini mengandungi dua bahagian, Bahagian A dan Bahagian B. This paper contains two sections, Section A and Section B.

TA N G G U N G J AWA B S O S I A L KO R P O R AT I N S T I T U T B I O S A I N S

ULTIMATE STRENGTH ANALYSIS OF SHIPS PLATE DUE TO CORROSION ZULFAQIH BIN LAZIM

Dibentang oleh: Dr. Wong Khai Ming Pusat Pengajian Sains Fizik Universiti Sains Malaysia

WIND TUNNEL TEST TO INVESTIGATE TRANSITION TO TURBULENCE ON WIND TURBINE AIRFOIL MAHDI HOZHABRI NAMIN UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

Jawab soalan mengikut arahan yang diberikan dalam setiap bahagian. Questions should be answered according to the instructions given in each section.


STABILITY OF TRIAXIAL WEAVE FABRIC COMPOSITES EMPLOYING FINITE ELEMENT MODEL WITH HOMOGENIZED CONSTITUTIVE RELATION NORHIDAYAH RASIN

EMH 211 Thermodynamics [Termodinamik]

DETECTION OF STRUCTURAL DEFORMATION FROM 3D POINT CLOUDS JONATHAN NYOKA CHIVATSI UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

(Kertas ini mengandungi 5 soalan dalam 5 halaman yang dicetak) (This paper consists of 5 questions in 5 printed pages)

Journal of Quality Measurement and Analysis JQMA 13(2) 2017, Jurnal Pengukuran Kualiti dan Analisis

(Kertas soalan ini mengandungi 7 soalan dalam 8 halaman yang bercetak) (This question paper consists of 7 questions on 8 printed pages)

PENYULITAN IMEJ MENGGUNAKAN ALGORITMA PIAWAI PENYULITAN LANJUTAN (AES)

Transcription:

Penglibatan Komuniti dalam Pengurusan Sisa Pepejal di Malaysia HALIZA ABDUL RAHMAN 1 ABSTRAK Sisa pepejal atau sampah secara mudahnya merujuk kepada apa sahaja bahan buangan yang tidak dikehendaki oleh pemiliknya sama ada kerana rosak, lusuh atau telah sampai jangka hayatnya. Kewujudan pelbagai masalah berkaitan sisa pepejal telah menyebabkan pengurusan lestari sisa pepejal telah diberi keutamaan dalam usaha memastikan kesihatan awam terjamin, alam sekitar dilindungi dan dipulihara, sumber alam terpelihara serta kebersihan persekitaran dan nilai estetik terjaga. Di Malaysia, pengurusan sisa pepejal merupakan satu masalah besar selaras dengan peningkatan jumlah populasi, peningkatan taraf hidup dan aktiviti perindustrian. Justeru, pengurusan lestari sisa pepejal amat penting kerana jika ianya tidak diuruskan dengan sistematik dan berkesan, impaknya akan terkesan kepada masyarakat dan alam sekitar. Namun, kejayaan utama pengurusan sisa pepejal bersepadu amat bergantung kepada sokongan dan penglibatan komuniti setempat secara aktif iaitu dengan menghampirkan diri atau mempunyai hubungan rapat dengan perancangan dan pelaksanaan sesuatu program berkaitan. Komuniti boleh berperanan antara lain dengan melaksanakan aktiviti kitar semula, pengkomposan serta pengasingan sisa pepejal di rumah sebagai salah satu langkah paling berkesan dalam usaha mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan. Pengalaman dan kejayaan yang ditunjukkan oleh komuniti di negara-negara lain juga boleh dipraktikkan di Malaysia dalam usaha mengurangkan pelupusan sisa pepejal dan meningkatkan penyertaan komuniti setempat dalam perkara ini. Kata kunci: Komuniti, Pengurusan Sisa Pepejal Lestari, Alam Sekitar, Kesihatan PENGENALAN Sisa pepejal atau sampah secara mudahnya merujuk kepada apa sahaja bahan buangan yang tidak dikehendaki oleh pemiliknya sama ada kerana rosak, lusuh atau telah sampai jangka hayatnya. McDougall et al. (2001) mentakrifkan sisa pepejal sebagai sisa dari rumah (dikutip dan dihantar), sisa komersial (Kedai, restoran, pejabat) dan sisa institusi (sekolah, kemudahan riadah, hospital tetapi tidak termasuk sisa klinikal) yang terhasil daripada aktiviti harian. Di Malaysia, sisa pepejal terdiri daripada peratusan bahan organik (48-64%) dan kertas (12-30%). Umumnya, sisa pepejal lebih mudah dilupuskan kerana ianya tidak toksik berbanding dengan sisa klinikal dan sisa buangan terjadual. Menurut Tchobanoglous et al. (1993), pengurusan sisa pepejal merangkumi enam elemen, bermula daripada penjanaan sisa, diikuti dengan penyimpanan dan pemprosesan di peringkat sumber, proses pengumpulan, pemindahan dan pengangkutan, rawatan dan transformasi dan akhirnya pelupusan. Di Malaysia, pengurusan sisa pepejal merupakan satu masalah besar dengan peningkatan jumlah populasi, peningkatan taraf hidup dan aktiviti perindustrian (Rahmah 2011). Justeru, pengurusan lestari sisa pepejal amat penting kerana jika ianya tidak diuruskan dengan sistematik dan berkesan, impaknya akan terkesan oleh masyarakat dan alam sekitar. Menurut UNEP (1996), pencemaran sisa pepejal yang disebabkan ketidakberkesanan sistem pengurusan sisa pepejal membawa kesan langsung kepada kesihatan awam, kemerosotan kualiti alam sekitar dan masalah estetika secara berperingkat bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

14 Haliza Abdul Rahman Menurut Sharifah Norkhadijah (2014), salah satu cabaran terbesar dalam pengurusan sisa pepejal ialah peningkatan penjanaan sisa, yang mewujudkan tekanan kepada kemudahan pelupusan. Kadar penjanaan sisa pepejal isi rumah atau domestik didapati semakin meningkat dari hari ke hari selaras dengan perubahan gaya hidup masyarakat dan peningkatan taraf ekonomi. Pada tahun 2000, penduduk Malaysia secara purata menjana 0.8 kg per kapita sampah sehari dan dijangka meningkat kepada 1.4 kg sehari per kapita pada tahun 2025 (Lau 2004). Dengan jumlah penduduk Malaysia yang telah menjangkau 30 juta orang, sampah yang terhasil akan turut meningkat yang mana dijangka mececah 40 ribu tan metrik sehari. Pada tahun 2014, penduduk di negara ini dianggar membuang sehingga 33,000 tan metrik sampah setiap hari melibatkan kos berjumlah RM1.2 bilion untuk kerja pengutipan sampah (Sinar Harian 19 Januari 2014). Justeru, komuniti perlu sentiasa dididik demi untuk meningkatkan tahap kesedaran dan peranan mereka dalam isu ini agar sisa pepejal akhir yang dijana dapat diminimumkan semaksimum mungkin melalui pengamalan berkesan konsep 3R iaitu mengurangkan pembelian dan pemilikan barangan yang tidak perlu (reduce), mengguna semula barangan (reuse) serta mengitar semula sesuatu barangan (recycle) demi mengurangkan tekanan terhadap tapak pelupusan sampah sedia ada. SEPINTAS LALU PENGURUSAN SISA PEPEJAL DI MALAYSIA Pengurusan lestari sisa pepejal perlu diberi keutamaan dalam usaha memastikan kesihatan awam terjamin, alam sekitar dilindungi dan dipulihara, sumber alam terpelihara;serta kebersihan persekitaran dan nilai estetik terjaga. Di Malaysia, sehingga tahun 2012, terdapat 296 tapak pelupusan sisa pepejal yang mana daripada jumlah ini, 165 tapak masih beroperasi dengan hanya ada 8 tapak pelupusan sanitari tahap 4 (penimbusan tanah sanitari dengan sistem rawatan air resapan) di seluruh negara. Selain itu, sejak tahun 2006 telah diperkenalkan satu lagi kaedah pelupusan sisa yang dikenali sebagai Resource Recovery Centre iaitu dengan menukar sisa kepada bahan api, namun ianya masih dalam fasa percubaan. Loji ini menerima 700 tan/hari sisa daripada Majlis Perbandaran Kajang dan mempunyai jangka hayat selama 30 tahun. Loji ini mengasingkan sisa pepejal untuk dijual sebagai bahan kitar semula atau kompos. Baki bahan kering ini akan diproses dan digunakan sebagai bahan bakar untuk menjana elektrik. Loji rawatan ini memproses 28-32% sisa pepejal asal untuk menghasilkan 8 MW elektrik setiap hari, dengan kandungan abu dari proses pembakaran sekitar 10% dibuang di tapak pelupusan. Teknologi ini bukan sahaja dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan mengelakkan metana daripada sisa pepejal terbakar, malah dapat membekalkan tenaga elektrik, menggalakkan kitar semula dan kompos (UNFCC 2006). Pengurusan sisa pepejal yang tidak sistematik dan lestari akan menimbulkan pelbagai masalah kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Justeru, pada tahun 1988, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyediakan satu perancangan untuk melaksanakan kitar semula sisa pepejal. Rentetan itu pada bulan Januari tahun 1993, Program Kitar Semula telah dilancarkan yang melibatkan 23 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara. Objektif program ini ialah untuk menjimatkan kos pengurusan sisa pepejal melalui kaedah pengurangan pengeluaran sisa pepejal yang diuruskan oleh PBT, memelihara dan mengurangkan penggunaan bahan mentah asli yang ada, membantu memelihara kualiti alam sekitar serta membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat. Setiap majlis perbandaran dan majlis daerah mempunyai undang-undang kecil tersendiri untuk mentadbir pengurusan sisa pepejal. Pada mulanya program ini mendapat sambutan baik daripada golongan masyarakat di bandar-bandar utama di negara ini. Pada masa itu terdapat kerjasama antara pengilang, pemungut bahan buangan sisa pepejal, penduduk setempat dan kanak-kanak sekolah. walaubagaimanapun lama-kelamaan program tersebut tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan penduduk setempat. Daripada 23 PBT yang diminta

Haliza Abdul Rahman 15 melaksanakan program tersebut, hanya 10 PBT sahaja yang masih meneruskan program berkenaan. Pihak KPKT sedar bahawa untuk menjayakan program kitar semula di Malaysia adalah sukar tanpa penglibatan yang baik daripada semua pihak khususnya golongan masyarakat. Pengalaman negara maju juga menunjukkan bahawa satu tempoh yang lama dan melebihi 10 tahun diperlukan untuk menjayakan program kitar semula (Mohd Nazeri 2001). Kegagalan kempen kitar semula kali pertama ini ini berpunca daripada ketiadaan sokongan padu daripada masyarakat serta kekurangan logistik bagi pihak kerajaan. Hal ini ditambah lagi dengan ketiadaan pengalaman dalam melaksanakan program seumpama ini di Malaysia sebelumnya.ini selaras dengan pendapat Hallin (1995) iaitu, antara tiga sebab utama mengapa pengguna atau komuniti tidak melibatkan diri dalam aktiviti menjaga alam sekitar seperti pengurusan sisa pepejal disebabkan: 1. Tidak mempunyai masa 2. Tidak menerima sebarang ganjaran 3. Ia meleceh/menyusahkan (inconvenience). Justeru, pada akhir tahun 2000, kempen yang sama dilancarkan sekali lagi kerana isu penjanaan sisa pepejal menampakkan trend peningkatan yang membimbangkan. Masalah sisa pepejal semakin meruncing apabila sistem pengurusan yang diamalkan oleh kerajaan tempatan dan pihak konsesi swasta dari segi pungutan, penyimpanan dan pengangkutan sehingga ke tapak pelupusan kurang berkesan. Namun, sehingga tahun 2001, hanya 5 peratus sisa pepejal dikitar semula berbanding dengan 40 peratus jumlah penghasilan sisa setiap hari (750 tan daripada 6000 tan) (Berita Harian 2001). Di Malaysia, guna tanah perumahan menjana sisa pepejal paling tinggi berbanding sektor perindustrian, pertanian, perniagaan dan perdagangan, klinikal dan pembinaan. Rentetan itu, mulai 1 September 2015, pihak kerajaan telah mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah. Pelaksanaan perkara ini berdasarkan Peraturan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Secara umumnya, pengasingan sisa pepejal di rumah ini adalah mengikut jenis komposisi sisa pepejal seperti berikut: a) Kertas surat khabar, majalah, buku panduan, komik, katalog, kertas komputer, kertasa4, kertas berwarna, resit, bil, kotak kertas, kadbod, kalender, sampul surat, poskad, risalah, dan bungkusan pos. b) Plastik botol minuman ringan, botol jus, botol minuman air mineral, bekas makanan, bekas sabun cecair mandian, botol syampu, botol makanan kesihatan/vitamin, bekas pencuci pakaian/lantai, botol kicap, baldi, beg plastik, bekas ais krim dan lain lain jenis plastik c) Lain lain bahan yang boleh dikitar semula ialah :- Kaca/Seramik - botol kicap, botol sos, botol jem, botol minuman ringan, botol vitamin, bekas kosmetik, pinggan kaca dan sebagainya. Tin aluminium/besi/logam lain - tin minuman ringan, tin makanan dan sos, tin biskut, tin makanan cecair, alatan dapur seperti sudu, periuk senduk dan sebagainya. Sisa elektrik/barang elektrik kecil bateri, kalkulator, telefon bimbit, peralatan elektrik, lampu kalimantang, lampu LED,cerek elektrik, dapur elektrik dan sebagainya. Bahan fabrik/kasut/getah/kulit kasut, beg tangan, pakaian, sarung tangan dan sebagainya. Sisa berbahaya bekas penyembur ubat nyamuk,tin cat, bekas racun, bekas bahan pelarut, bekas ubat anai anai dan sebagainya. Sisa Kebun/Taman sisa halaman rumah seperti daun kering, ranting,pelepah pokok, batang pokok, rumput dan sebagainya. Sisa Pukal sisa peralatan rumah yang besar seperti peti sejuk, almari, katil, mesin basuh, sofa, perabot dan sebagainya.

16 Haliza Abdul Rahman Bagi komposisi sisa pepejal yang telah diasingkan di atas hendaklah dimasukkan dalam bekas yang sesuai/plastik sampah dan diletakkan di tepi tong sampah pada hari kutipan yang ditetapkan di sesuatu kawasan. Manakala bagi Sisa Pukal hendaklah diletakkan dengan kemas di bahu jalan hadapan rumah pada hari kutipan. Kutipan sisa pepejal berkenaan akan dibuat satu (1) kali seminggu oleh syarikat konsesi yang telah dilantik. Di samping itu, bagi Sisa Baki pula, sisa berkenaan perlu dimasukkan ke dalam bekas yang sesuai/plastik sampah dan dimasukkan ke dalam tong sampah. Sisa Baki ini merangkumi sisa makanan, lampin pakai buang, tisu, sisa sisa lain yang kotor dan tercemar. Kutipan bagi Sisa Baki ini akan dibuat kutipan dua (2) kali seminggu oleh syarikat konsesi yang telah dilantik. Namun, pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di rumah ini walaupun baik ianya tidak melibatkan segenap lapisan komuniti. Hal ini kerana ianya hanya melibatkan negeri-negeri yang menerimapakai Akta 672 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah sahaja. Justeru, impak lambakan sisa pepejal isi rumah serta impak negatifnya masih tidak dapat diminimumkan secara menyeluruh di Malaysia khususnya di negeri-negeri yang padat penduduk dan tinggi penjanaan sampahnya seperti Selangor yang tidak mewartakan perundangan tersebut. PENGLIBATAN KOMUNITI DALAM PENGURUSAN SISA PEPEJAL Komuniti merujuk kepada sekumpulan kecil golongan atau kumpulan dalam sebuah masyarakat yang besar. Umumnya, komuniti merupakan sekumpulan manusia yang bukan sahaja tinggal di satu wilayah yang mempunyai sempadan yang tetap, tetapi juga disatukan oleh persamaan dalam cara hidup dan amalan mereka (Setty 1994) serta mengenali satu sama lain. Menurut Robinson (1996), ahli-ahli dalam sesebuah komuniti mungkin berbeza dari segi kumpulan etnik, agama, jantina, tahap pendidikan, peringkat umur dan ekonomi. Perbezaan ini membawa kepada perbezaan minat, kuasa dan kekayaan. Namun begitu, ahli-ahli komuniti sering berinteraksi dan berhubungan dalam aktiviti-aktiviti kehidupan mereka dan ini menimbulkan sentimen komuniti (community sentiment) yang menyatukan mereka. Sentimen ini menghasilkan semangat kekitaan, kemuafakatan serta perasaan tanggungjawab ke atas apa yang berlaku di dalam komuniti dalam kalangan ahli-ahlinya. Penyertaan ahli komuniti dalam sesuatu aktiviti boleh berlaku dalam bentuk sumbangan tenaga, barangan dan wang ringgit. Berdasarkan pelbagai isu yang timbul dalam pengurusan sisa pepejal, penglibatan komuniti adalah sangat penting kerana sisa pepejal terjana daripada aktiviti komuniti dan sisa pepejal yang tidak diuruskan dengan lestari akan mendatangkan impak negatif kepada komuniti. Menurut Lele (1975), penglibatan merupakan salah satu angkubah penting dalam membentuk kejayaan sesuatu rancangan dan dianggap sebagai satu strategi dalam proses tersebut (Oakley dan Marsden 1985). Dalam konteks komuniti, penglibatan dilihat sebagai kemahuan individu membuat komen atau cadangan, berkongsi pendapat dengan ahli-ahli lain, mengambil berat serta bertanggung jawab terhadap aktiviti kumpulan (Edwards dan Jones 1976). Menurut Cohen dan Uphoff (1977) pula, penglibatan merupakan proses di mana individu dapat menghampirkan diri atau mempunyai hubungan dengan perancangan dan pelaksanaan sesuatu program. Terdapat tiga bentuk penglibatan komuniti iaitu (United Nations 1981): (i) Penglibatan yang spontan idea berkenaan dengan penglibatan komuniti dilakukan secara sukarela tanpa sokongan atau desakan dari luar. (ii) Penglibatan yang didorong biasanya bentuk penglibatan ini melibatkan kumpulan luar untuk mendorong dan memotivasikan seseorang untuk melibatkan diri. (iii) Penglibatan yang dipaksa dengan melibatkan sesuatu bentuk desakan atau paksaan yang mendesak mereka untuk melibatkan diri. Penglibatan yang bersifat demokratik dan sukarela menjadi asas pembentukan semangat keyakinan diri sendiri dan akhirnya mampu berdikari (Mukerji 1961). Penglibatan komuniti dalam pengurusan sisa pepejal melibatkan beberapa tahap iaitu (ubahsuaian dari Sanders 1958): (i) Proses menekankan bahawa masyarakat bergerak dari satu tahap ke satu tahap lain yang

Haliza Abdul Rahman 17 lebih maju, justeru untuk menjadi maju pengurusan sisa pepejal haruslah dilakukan secara lestari dan sistematik bagi meminimumkan impak negatifnya. Penekanan diberikan kepada perubahan bersiri yang berlaku ke atas komuniti daripada aspek sosial dan psikologi untuk jangka masa tertentu. (ii) Kaedah memberi penekanan kepada proses dan objektif, iaitu kaedah bagi mencapai matlamat yang disasarkan misalnya pengurusan sisa pepejal lestari melalui proses-proses yang terlibat. Melalui pendekatan ini anggota komuniti dididik, diasuh dan dilatih bagi menggunakan ruang masa dengan betul, memberi kemahiran serta penggunaan sumber-sumber tempatan sedia ada secara optimum untuk mencapai peningkatan dalam kualiti hidup. (iii) Program melibatkan aktiviti atau projek tertentu yang direncanakan seperti melaksanakan projek kitar semula dalam rangka untuk membangunkan komuniti ke arah kehidupan yang lebih sihat dan baik. (iv) Pergerakan- menggambarkan komuniti seharusnya mempunyai komitmen, meletakkan satu nilai yang tinggi, beranggapan baik, menyanjungi dan menaruh harapan yang tinggi terhadap kesejahteraan komuniti. Unsur-unsur ini akan mendorong komuniti agar mempunyai dedikasi terhadap sesuatu program seperti dalam pengurusan lestari sisa pepejal. Penglibatan komuniti dalam isu berkaitan alam sekitar seperti pengurusan sisa pepejal sangat penting kerana (Conyers 1982): (i) Ia adalah satu cara mendapatkan maklumat tentang keadaan, keperluan, dan sikap komuniti tempatan yang tanpa kehadirannya program dan projek berkaitan berkemungkinan gagal. (ii) Individu akan lebih komited kepada program/projek sekiranya mereka dilibatkan dalam perancangan dan penyediaannya kerana mereka lebih mengetahui selok belok projek tersebut. Maka, meraka akan mengaitkan diri dengannya dan melihat projek itu sebagai projek mereka. (iii) Di kebanyakan negara, penglibatan komuniti dalam projek/program mereka sendiri dianggap sebagai satu hak asasi yang demokratik. Penglibatan komuniti juga bukanlah satu perkara yang baharu, khususnya di negara membangun seperti India, Mali, Tanzania, Bangladesh dan Vietnam. Namun, di Malaysia, pelaksanaan kaedah penglibatan komuniti dalam pengurusan sisa pepejal belum lagi popular. Boyle (1981) menyatakan penglibatan komuniti dapat meningkatkan daya pemikiran seseorang bagi membantunya membuat keputusan dengan lebih bijak. Ia juga dianggap sebagai suatu cara untuk mengatasi pelbagai masalah masyarakat. Ini kerana, golongan yang kurang berupaya diberikan peluang untuk bersuara, terutamnya dalam membuat keputusan yang melibatkan masa depan mereka. Penglibatan juga membolehkan kumpulan sasaran menyampaikan masalah yang dihadapi dengan lebih tepat kepada penggubal dasar. Penglibatan sebegini menjadikan kumpulan sasaran menerima sesuatu projek dengan penuh keyakinan. Selain itu, penglibatan juga dilihat sebagai matlamat akhir yang ingin dicapai dalam konteks sesuatu projek/program kerana ia menggalakkan penggunaan sepenuhnya inisiatif, daya cipta dan sikap berdikari anggota komuniti. Dengan adanya anggapan dan perasaan yang sedemikian, memungkinkan seseorang itu lebih bertanggungjawab dalam menentukan kejayaan terhadap program yang disertainya. Keadaan ini selanjutnya akan meningkatkan lagi usaha bekerjasama, tolongmenolong dan integrasi kalangan komuniti. Bagi memastikan penglibatan komuniti adalah optimum dalam sesuatu projek/program, terdapat empat keadaan yang berupaya meningkatkan tahap penglibatan, iaitu (Franklyn 1985): (i) Desentralisasi kuasa dalam membuat keputusan dan perancangan sumber kepada pihak bawahan. (ii) Perwakilan yang mencukupi dari pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk badan membuat keputusan tempatan dan peringkat atasan. (iii) Pembentukan satu institusi sebagai asas penglibatan dalam membuat keputusan. (iv) Pewujudan sifat kepercayaan pada diri sendiri oleh komuniti tempatan dalam projek/program yang dianjurkan. Pengalaman dan kejayaan yang ditunjukkan oleh negara-negara lain yang mana bersesuaian boleh dipraktikkan di Malaysia dalam mengurangkan pelupusan sisa pepejal dan meningkatkan penyertaan komuniti dalam hal ini. Finland (Helsinki), Jerman (Cologne), Belanda (Lamsterland), Itali (Greve) dan Jepun (Toyohashi) meruapakan antara contoh terbaik. Di sini komuniti telah melibatkan pengkomposan dalam konsep kitar semula kalangan mereka

18 Haliza Abdul Rahman sehingga aktiviti kitar semula meningkat dan pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan berjaya dikurangkan (Seow 2016). Di India, apa yang telah dipraktikkan juga mungkin boleh dilaksanakan di Malaysia dalam usaha meningkatkan tahap penyertaan dan penglibatan komuniti setempat dalam pengurusan sisa pepejal lestari. Pada Tahun 1988 di Madras, India program EXNORA telah dijalankan. Program ini dianjurkan oleh NGO dan tidak mendapat sebarang peruntukan daripada PBT. Program EXNORA telah memotivasi komuniti tempatan untuk melibatkan diri dalam membaiki keadaan pengurusan sisa pepejal yang sedia ada supaya tahap hidup mereka dapat ditingkatkan. EXNORA merupakan sat sistem yang melibatkan komuniti secara kejiranan. Pengutip sisa pepejal dan orang muda yang tidak bekerja telah diberi peluang untuk membuka perniagaan dalam pengurusan sisa pepejal dengan sokongan daripada komuniti tempatan. Secara amnya, kejayaan EXNORA telah telah menunjukkan sokongan daripada pihak berkepentingan dari segi inovatif tetapi dengan penggunaan teknologi rendah, penggunaan pengutip sisa pepejal untuk mengutip sampah, mengitar semula serta pengkomposan sampah. Dapatan menunjukkan bahawa 11 peratus sisa pepejal telah berjaya dikompos dan 3.6 peratus telah dikitar semula (Seow 2016). Di Malaysia, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sebagai contoh telah menggalakkan penglibatan komuniti dalam pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam di MPKB bertujuan: 1. Meningkatkan penyertaan komuniti tempatan khususnya di taman perumahan agar mereka bertanggung jawab untuk menguruskan sisa pepejal dan kebersihan awam. 2. Menggalakkan komuniti tempatan untuk memberikan perkhidamatan di kawasan mereka sendiri. 3. Membantu mengurangkan beban dan tanggung jawab MPKB dalam melaksanakan kerja pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam dengan mengambil alih tanggung jawab pengurusan. Oleh itu, pihak MPKB dapat menumpukan kerja pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam di kawasan yang lain. 4. Meningkatkan kesedaran dan sensitiviti komuniti tempatan 5. Memberikan pendedahan dan pendidikan kepada komuniti tempatantentang pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam. Penglibatan komuniti di MPKB bertujuan meningkatkan kapasiti dan kepekaran serta menimba pengetahuan dan pengalaman dalam rangka untuk memainkan peranan secara luas dan kolektif dalam usaha mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam sistem pengurusan pepejal. Umumnya, penglibatan komuniti dalam pengurusan sisa pepejal adalah satu pengalaman baru dan belum meluas dilaksanakan. Projek perintis penglibatan komuniti ini dilaksanakan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 2002. Pelaksanaan skim pengutipan primer di Kota Bharu dijalankan atas inisiatif Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disebabkan ketidakmampuan mereka untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal secara cekap, berkesan dan menyeluruh kerana keterbatasan sumber kewangan, kekurangan tenaga pekerja, kenderaan pengangkut dan peralatan. Namun sebagai PBT, mereka bertanggungjawab untuk meningkatkan tahap kebersihan bandar dengan menjalankan kaedah penggunaan tenaga tempatan yakni melibatkan penduduk tempatan terutamanya di kawasan taman perumahan dalam melaksanakan Agenda Tempatan 21 (Teuku Afrizal dan Abdul Rahman 2013). Dalam hal ini, penglibatan komuniti menjadi satu kaedah alternatif untuk meningkatkan tahap kebersihan terutama di kawasan taman perumahan dengan menjadikan komuniti sebagai partner atau rakan penting kepada PBT. Pelaksanaan di Kota Bharu bermula dengan pihak PBT mengambil inisiatif mengenal pasti dan memilih taman perumahan sebagai projek contoh dengan mempertimbangkan dua perkara iaitu (1) kawasan taman perumahan yang terlibat haruslah membayar cukai bandaran; dan (2) kawasan taman perumahan berkenaan mesti mempunyai persatuan penduduk yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966. Daripada 144 taman perumahan yang terdapat di Kota Bharu, Taman Guru didapati menepati syarat yang ditetapkan (Teuku Afrizal dan Abdul Rahman 2013).

Haliza Abdul Rahman 19 MENINGKATKAN PENGLIBATAN KOMUNITI KE ARAH KELESTARIAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL Dewasa ini, tumpuan masyarakat dunia telah beralih kepada penerapan aspek kelestarian dalam semua aspek kehidupan. Namun, pembangunan lestari merupakan cabaran kepada manusia sejagat dalam usaha untuk meyeimbangkan penggunaan sumber asli, produk perindustrian, tenaga, makanan, pengangkutan, tempat berlindung dan pengurusan sisa dengan tuntutan memelihara dan melindungi kualiti alam sekitar dan sumber asli untuk pembangunan masa hadapan. Menurut Wiles (2008), terdapat tiga unsur dalam konsep kelestarian: 1. Alam sekitar isu-isu alam sekitar seperti pemanasan global dan inisiatif-inisiatif dalam mengurangkan dan penyesuaian kepada isu-isu tersebut. 2. Ekonomi penonjolan dasar-dasar pembangunan, strategi-strategi dan pengamalan perkara yang akan membolehkan pertumbuhan ekonomi berterusan tetapi pada masa yang sama memastikan sumber-sumber yang ada tidak berkurangan. 3. Sosial penonjolan pertumbuhan penduduk dunia, gaya hidup, penggunaan sumbersumber, ekologi tapak karbon, karbon dan air. Justeru, pembangunan lestari merupakan satu strategi berterusan ke arah memelihara, memulihara serta meningkatkan kualiti persekitaran setempat dan kualiti hidup masyarakat. Hal ini kerana pembangunan lestari akan membolehkan kemajuan ekonomi dan kualiti alam sekeliling mencapai matlamat kesejahteraan manusia secara berterusan. Strategi-strategi pembangunan lestari jika dipraktikkan dengan serius akan dapat memelihara alam sekeliling, menjimatkan sumber, meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menjadikan masyarakat kurang terdedah kepada ancaman pencemaran (Mohd Nazaruddin dan Kamarudin 2014). Konsep ini merupakan keperluan jangka panjang manusia tetapi ianya akan menjadi mustahil, melainkan keadaan fizikal semula jadi bumi, kimia dan sistem-sistem biologi dipelihara dan dipulihara. Penglibatan komuniti merupakan aspek penting dalam pengurusan sisa pepejal lestari. Pengurusan sisa pepejal berasaskan komuniti merupakan satu sistem pengurusan sisa pepejal yang secara operasionalnya dilaksanakan oleh komuniti tempatan. Faktor ini disebabkan sistem pengurusan pepejal haruslah sesuai dengan keadaan setempat dan munasabah dari perspektif teknikal, alam sekitar, sosio budaya, kewangan dan merujuk pada penggunaan sumber yang digunakan dan sumber berkenaan sesuai dengan konteks komuniti setempat. Berkaitan isu pengurusan sisa pepejal yang lestari, sikap, tingkah laku, kesedaran dan pengetahuan yang rendah kalangan orang awam menyebabkan berlakunya ketidakcekapan dan ketidakberkesanan sistem pengurusan sisa pepejal di Malaysia. Hal ini kerana, orang awam berpandangan bahawa kerja pengurusan sisa pepejal dan menjaga kebersihan ialah tugas dan tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan. Oleh itu, masih ramai dalam kalangan ahli komuniti membuang sisa pepejal di merata-rata tempat ataupun meletakkan sisa pepejal di tempat yang tidak sepatutnya tanpa rasa bersalah. Komuniti juga dilihat masih kurang pengetahuan dan kesedaran mengenai kesan perbuatan mereka itu (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 1999). Rentetan itu, komuniti perlu diserta dan dilibatkan secara aktif kerana penglibatan golongan ini merupakan prasyarat untuk kejayaan perlaksanaan sebarang projek/program berkaitan. Matlamat ini boleh dicapai melalui pendekatan bawah-atas (bottom-up). Pendekatan ini memberi tumpuan kepada aspek gagasan keperluan untuk melakukan perubahan bermula dari sudut pandangan komuniti tempatan yang berasaskan kepada masalah dan keperluan dalam lingkungan komuniti mereka (Muhammad Fadhil 1995). Selain itu, pendekatan bawah-atas ini berpotensi meluaskan kebebasan dan hak komuniti membuat keputusan bagi menentukan masa depan mereka. Pengalaman di beberapa negara membuktikan pendekatan berbentuk bawah-atas telah berjaya menarik perhatian dan minat ahli komuniti untuk terlibat sama dalam projek/program yang dirancang dan dianjurkan. Hal ini kerana, melalui pendekatan berbentuk atas-bawah : (i) Kumpulan sasar iaitu komuniti mempunyai keinginan untuk berubah ke arah yang lebih baik. (ii) Pelaksanaan aktiviti projek/program yang dilaksanakan adalah berasaskan keperluan kumpulan sasar. (iii) Masalah

20 Haliza Abdul Rahman kumpulan sasar dikenal pasti dan diselesaikan secara konsensus untuk tindakan bersama selanjutnya. (iv) Kepentingan majoriti lebih diutamakan daripada kepentingan peribadi. (v) Kewujudan semangat tolong menolong antara kumpulan sasar. (vi) Penyertaan secara sukarela kumpulan sasar dalam program yang dilaksanakan. (vii) Mempunyai maklumat tentang keadaan hidup kumpulan sasar. (viii) Program dilaksanakan dalam jangka masa panjang. Penyertaan dan penglibatan aktif komuniti dalam memastikan pengurusan sisa pepejal yang lestari dan sistematik melalui pendekatan bawah-atas perlu diberi perhatian serius kerana, di Malaysia, tanggung jawab yang dikenakan terhadap pengguna atau komuniti adalah terlalu mudah iaitu mereka hanya perlu meletakkan sampah di tempat yang telah ditetapkan, sebab itulah ahli komuniti tidak terpanggil atau berasa bertanggung jawab untuk turut serta dalam melestarikan pengurusan sisa pepejal. Sepatutnya komuniti perlu dididik bagaimana untuk menguruskan sisa pepejal dengan lebih teratur seperti mengajar pengguna mengasingkan sampah atau mengaplikasikan sistem deposit-refund bagi meningkatkan tahap penglibatan mereka. Malahan, undang-undang tentang pengurusan sisa pepejal hanya bertumpu kepada pungutan sisa sahaja di mana bahan buangan yang dipungut itu akan dihantar ke tapak pelupusan sampah. Tiada peruntukan yang mewajibkan guna semula atau kitar semula. Rentetan itu, pelaksanaan Peraturan seperti pengasingan sisa pepejal di rumah telah diusahakan oleh pihak Kerajaan untuk meningkatkan kadar kitar semula yang juga akan mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sedia ada yang semakin kehabisan ruang. Pengasingan sisa isi rumah akan membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, justeru, membantu meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan tersebut. Aktiviti amalan 3R dan pengasingan sisa di punca juga telah dikenalpasti sebagai salah satu langkah paling berkesan dalam usaha mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan. Melalui penerapan dan pembudayaan amalan 3R dan pengasingan sisa pepejal isi rumah ini adalah diharapkan komuniti akan menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber baru yang dapat digunakan sebagai alternatif kepada sumber bahan mentah asli dalam pembuatan sesuatu produk. Ini secara tidak langsung akan dapat memastikan sumber sumber alam semula jadi diuruskan secara bijal dan lestari demi kebaikan generasi masa hadapan dan alam sekitar. Lanjutan daripada perkara tersebut, khususnya dalam memastikan segala maklumat dan informasi berkaitan pengasingan sisa pepejal isi rumah disebarkan secara meluas dan berkesan kepada semua lapisan komuniti, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah merangka Pelan Tindakan Kesedaran Awam Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca 2015 yang bertujuan untuk mendidik dan membudayakan amalan pengasingan sisa pepejal di kalangan masyarakat Malaysia ke arah mewujudkan komuniti yang menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber, menjaga kebersihan persekitaran dan memelihara kelestarian alam sekitar. Pelan ini juga mengariskan 3 strategi dan beberapa tindakan yang dijangka mampu untuk merealisasikan aspirasi di atas iaitu: a) Meningkatkan penyebaran maklumat dan promosi tentang pengasingan sisa di punca melalui pelbagai medium:- Promosi melalui pelbagai saluran TV; Promosi melalui pelbagai saluran radio; Hebahan melalui artikel yang diterbitkan melalui akhbar harian; Hebahan melalui media sosial seperti facebook, twitter, instagram dan blog; Edaran panduan pengasingan sisa di rumah dalam bentuk brosur kepada setiap premis; Penyediaan risalah, poster dan sebagainya.b) Mewujudkan kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak iaitu Kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan pembinaan kurikulum dan ko-kurikulum berkaitan pengasingan sisa di punca dan amalan 3R di peringkat prasekolah/tadika, sekolah rendah, menengah dan IPT; Kolaborasi dengan komuniti setempat seperti JKKK, Persatuan Penduduk dan Jawatankuasa Rukun Tetangga melalui program 3R; Kolaborasi dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melalui program pendidikan dan kesedaran awam serta dan program 3R; c) Mewujudkan pengiktirafan berkaitan Amalan Pengasingan Sisa Pepejal seperti mengadakan pengiktirafan kepada pihak yang mengamalkan pengasingan sisa pepejal terbaik bagi kategori suri rumah, komuniti dan agensi kerajaan.

Haliza Abdul Rahman 21 Selain itu, untuk meningkatkan pengurusan sisa pepejal, dasar yang digubal perlu merangkumi tiga kumpulan terbesar iaitu pengeluar/pengilang, pengguna yang merangkumi komuniti dan kerajaan tempatan. Perkembangan yang berlaku di Jerman dan Amerika Syarikat boleh dijadikan panduan (Rahmah 2011). Di Amerika Syarikat misalnya, kerajaan persekutuan akan memberikan insentif dari segi teknikal dan kewangan kepada kerajaan tempatan yang mengemukakan pelan pengurusan sisa pepejal yang memuaskan. Semua faktor ini perlu dipertimbangkan dengan serius kerana, menurut Moisandar (2000), pengguna atau komuniti kebiasaannya berasa kurang perlu untuk lebih bertanggungjawab dalam melindungi alam sekitar dan kurang berkesanggupan untuk menghadapi sedikit ketidakselesaan dalam usaha ke arah pemuliharaan alam sekitar seperti dalam isu pengurusan sisa pepejal kerana kurang insentif psikologi seperti kurang perasaan yang mendalam terhadap kemusnahan alam, pencemaran dan sebagainya. Justeru, penekanan harus diberikan terhadap meningkatkan pengetahuan, menyemai nilai dan etika kehidupan lestari dalam setiap individu di samping menerapkan budaya kepenggunaan lestari kalangan komuniti agar ianya menjadi amalan dan gaya hidup masyarakat seluruhnya. Antara kaedah yang paling berkesan untuk dilaksanakan ialah dengan meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam dalam usaha menerap dan memperluas kesedaran berkaitan kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar kalangan masyarakat KESIMPULAN Pengurusan sisa pepejal di Malaysia yang dipraktikkan kini adalah kurang efektif dan tidak membawa kepada pengurusan sisa pepejal yang lestari. Selain itu, sambutan dingin terhadap program kitar semula oleh golongan komuniti tempatan telah menambahkan masalah kepada sistem pengurusan sisa pepejal sedia ada. Justeru, komuniti setempat mesti dilibatkan dalam usaha melestarikan pengurusan sisa pepejal melalui pelbagai kaedah berbentuk bawah-atas misalnya melalui pendidikan, seminar, dialog, kempen, ceramah dan pelbagai saluran lain bagi memupuk kesedaran kalangan mereka dalam usaha memulihara dan memelihara alam sekitar serta mengurangkan impak terhadap kesihatan kesan pengurusan sisa pepejal yang tidak lestari. Hal ini kerana, penglibatan komuniti dianggap sebagai aspek penting dan merupakan salah satu strategi penting yang diberikan penekanan oleh kerajaan dalam kerangka meminimumkan permasalahan alam sekitar seperti sisa pepejal. RUJUKAN Berita Harian. 2001. 2 April. Boyle, P.G. 1981. Planning better programs. New York: Mc Graw-Hill Book Company. Cohen, J.M & Uphoff, N.T. 1977. Rural development participation: Concept and measures for the Project Design, implementation and evaluation. Rural Development Monograph No. 2. New York: Rural Development Committee Center for International Studies, Cornell University. Conyers, D. 1982. An introduction to social planning in the third world. New York: John Wiley and Sons. Edward, A.D. dan Jones, D.G. 1976. Community and development. The Hague: Monton & Co. Franklyn, L. 1985. Popular participation in planning for basic needs: Concept, methods and practices. Aldershot: Grower Publishing Company Ltd. Hallin, P.O. 1995. Environmental Concern and Environmental Behavior in Foley, A Small Town in Minnesota. Environmental and Behavior 27 (4): 558-579. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 1999. Annual Report, Section 4-Local Government. Kuala Lumpur: Technical Section of the Local Government Division. Lau, V.L. 2004. Case study on the management of waste materials in Malaysia. Forum Geookol 15 (2): 7-14. Lele, U.J. 1975. The design of rural development: Lessons from Africa. Baltimore: The John Hopkins University Press for World Bank.

22 Haliza Abdul Rahman McDougall, F., White, P.R., Franke, M. & Hindle, P. 2001. Integrated solid waste management: A lifecycle inventory. Oxford: Blackwell Science. Mohd. Nazaruddin Yusoff & Kamarudin Mohd Nor. 2014. Pemanasan global dan pembangunan lestari alam bina. Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia. Mohd Nazeri Salleh. 2011. Pengurusan sisa pepejal di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan di Malaysia. Dlm. Chamhuri Siwar, Hasnah Ali, Abd. Rashid Ahmad & Mohd Zahir Abdul Hamid (pnyt.). Dasar memperbaiki pengurusan sisa pepejal perbandaran, hlm.1-6. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Moisandar, J. 2000. Complexity and Multidimensionality of Ecologically Responsible Consumer Behavior. Helsinki: School of Economics and Business Administration. Muhammad Fadhil Nurdin. 1995. Strategi pembangunan masyarakat dalam kelompok swadaya: Kajian kes di Desa Blanakan, Jawa Barat, Indonesia. Tesis M.A. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Mukerji B. 1961. Community development in India. Calcutta: Orient Longmans. Oakley, P. & Marsden, D. 1985. Approaches to participation in rural development. Geneva: International Labour Office. Rahmah Ismail. 2011. Dasar untuk meningkatkan mutu pengurusan sisa pepejal: Peruntukan undangundang serta perubahan yang diperlukan. Dlm. Chamhuri Siwar, Hasnah Ali, Abd. Rashid Ahmad & Mohd Zahir Abdul Hamid (pnyt.). Dasar memperbaiki pengurusan sisa pepejal perbandaran, hlm. 13-18.Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Robinson, J.G. 1996. Searching for the community in community-based conservation: A case study of a Zimbabwe CAMPFIRE project. Unpublished Masters thesis. Toronto: School of Environmental and Resource Studies, Dalhousie University. Sanders, L.T. 1958. Theories of community development. Rural Sociology 23 (1): 1-12. Seow Ta Wee. 2016. Senario pengurusan sisa pepejal di Malaysia. Batu Pahat: Penertit UTHM. Setty, E.D. 1994. Participatory rural development in Asia: A critical analysis. New Delhi: Inter-India Publications. Sharifah Norkhadijah Syed Ismail. 2014. Mengurus sisa pepejal di rumah. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia. Sinar Harian. 19 Januari 2014. Rakyat buang 30,000 tan sampah setiap hari. Tchobanoglous, G. Thiasendan, H & Vigil, S. 1993. Solid waste. Engineering, principle and management issues. New York: Mc Graw-Hill. Teuku Afrizal Teuku Anwar & Abdul Rahman Embong. 2013. Komuniti dan pengurusan persekitaran: Beberapa pengalaman Malaysia, Bangladesh, Zambia dan Vietnam. Kajian Malaysia 31 (2): 65-86. UNFCC. 2006. Clean development mechanism project design document form (CDM-PDD) version 03.1 RRC, United Nations Framework Convention on Climate Change. United Nations. 1981. Popular participation as a strategy for promoting community-level action and national development. New York: Center for Social Development and Humanitarian Affairs. Wiles, J. 2008. Green architecture. Koln: Taschen. 1 Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (JKPP), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), 43400 Serdang, Selangor, MALAYSIA. E-mail: dr.haliza@upm.edu.my